Saturday, November 28, 2009

kekasih di dalam kelongsong

Dia menekan kekunci 'hantar' sambil pejam mata. kemudian keluar pop up window bertulis, "kekasih di dalam kelongsong akan sampai ke rumah anda tujuh hari dari sekarang".
dia berdebar-debar. malu pada leptop, meja, kerusi dan diri sendiri pun ya juga. tapi dia tidak boleh berpatah balik kerana duit di dalam cimbeng pun telah dihabiskan separuh untuk membeli kekasih di dalam kelongsong.
menantikan hari itu dia tidak lena tidur. makan pun telan-telan paksa. bunyi motorsikal yang lalu di depan rumah selalu buat dia berdebar-debar.
dia tidak sabar menanti abang posmen berhentikan motosikal di hadapan rumah dan menghulurkan sebungkus bungkusan berisi kekasih di dalam kelongsong.
***
Dan tujuh hari telahpun berlalu begitu sahaja. bungkusan yang ditunggu-tunggu sampai pada hari ke dua puluh satu dalam keadaan yang sudah komot. comot.
dia memeluk lutut di atas kerusi berbentuk tangan.
rasa teruja telah berkurangan pada hari ke sebelas dia menunggu. namun dia masih rasa berdebar.
kekasih di dalam kelongsong kelihatan bulat panjang. dibungkus rapi di dalam material berwarna biru pudar bersama tag bertulis nombor yang panjangnya setengah jengkal.
dia menunggu selama setengah jam tanpa membuka kipas seperti yang diarahkan di dalam sekeping manual.
kekasih di dalam kelongsong bergerak sikit-sikit. kemudian terguling di atas kapet. dia jadi takut.
kekasih di dalam kelongsong sudah bergerak dan kelongsong itu pecah kepada beberapa bahagian.bagaimana mahu bayangkan kekasih yang keluar dari kelongsong?
marilah bayangkan seperti biasa saja. sedikit berpeluh (oh seksinya). badan melekit. cuma berseluar pendek (mujurlah) dan masih terpinga-pinga. kemudian redha dipapah ke sofa. oh sangat comel bukan?
tapi kekasih yang keluar dari kelongsong di hadapannya tidak begitu. memang tidak begitu. memang tidak begitu.
patutlah tiada katalog. cuma details. dan perjanjiannya adalah penerimaan tanpa kompromi. tidak boleh ditukar dengan wang tunai dan tiada jaminan langsung.
dan dia terus terlupa mahu buka kipas semula. haih.

Sunday, November 15, 2009

tedi beruang tuntut nyawa

Dia teringin punya seketul tedi beruang yang namanya sudah difikirkan sejak dia berumur lima tahun-Bobot. Tinggal minta pada omma belikan tedi beruang di kedai besar kemudian berikan nama Bobot.
Dia menunggu sehingga dia berusia enam tahun. Tapi tiada beruang tedi.
Pada hari Sabtu ketika dia berusia enam tahun, dia telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan bawa bola di dalam sudu mengalahkan anak jiran yang mengamuk di tengah permainan, mengalahkan adiknya yang bertanding sambil memakai kain skirt sempit dan mengalahkan anak kawan oppa yang mengelat berjalan sambil gigit sudu tapi pegang bola dengan tangan.

Dan hadiahnya ialah tedi beruang berwarna putih bersama biskut celup coklat. Walaupun bukan warna coklat tua seperti yang diidamkannya, tapi dia menerima Bobot seadanya.

“Kau jangan main dengan tedi beruang. Mama aku kata nanti di akhirat tedi beruang tuntut nyawa. Macam mana kau nak bagi nyawa kau kat tedi beruang? Nyawa kau ada satu je,” Ketty, kawan sekolah tapi duduk kelas paling corot memberi nasihat siap dengan muncung-muncung mulut dan mata terbelalak membuktikan betapa bersungguhnya Ketty berkata-kata pada petang itu.

***

Sebelum maghrib, dia ke belakang rumah Pak Akob taukeh ayam. Dia memeluk Bobot yang belum sampai satu hari duduk bersamanya. Kemudian melihat mata Bobot. Juga leher Bobot yang dipakaikan rantai kucing.

Dalam longkang besar berisi air berwarna hitam pekat dipenuhi bahan-bahan seperti lampin bayi, plastik gelenyar, kulit roti berkulat, seluar dalam saiz gergasi juga span basuh pinggan, dia menenggelamkan Bobot dengan kayu panjang sedepa sambil menangis tersedu-sedu.

“Selamat tinggal Bobot. Maafkan kita. kita sayang Bobot,”. Dia pulang ke rumah membawa sebak dan kasih rindu yang berlonggok-longgok untuk Bobot.
***

Besoknya, Ketty datang pada dia dengan tedi beruang kepam yang berwarna putih kuning-kuning campur tompok coklat muda dengan rantai leher kucing. Menunjuk-nunjuk sambil membelalakkan mata sampai kelihatan tersembul seperti mata katak.

Dia terduduk lesu di atas tahi kambing bulat-bulat yang berterabur di tanah dengan riak wajah paling kesal dalam dunia.