Monday, December 28, 2009

gadis pelukis di ladang daisy

Gadis pelukis melukis dengan pensel. dia tidak mewarna.
suatu hari dia ke ladang daisy dengan berjalan kaki. dia mahu melukis bunga daisy.

di sinilah gadis pelukis melukis bunga daisy berwarna hitam juga putih sehingga siap.

dia melihat lukisan bunga daisy sambil meneguk air oren yang dibawanya. hitam dan juga putih. tiada hijau. tiada kuning. tiada biru langit. seperti yang sepatutnya.
air oren yang tertitik dari bibir ke atas kertas lukisan bunga daisy juga kelihatan tidak berwarna. dia menyapu sisa air oren dan kertasnya bengkak. warna hitam pensel merebak sedikit. kemudian dia tekap-tekap dengan kapas muka. lukisan tidak apa-apa. dia lega.
di horizon yang selari, gadis pelukis berjalan pulang bersama lukisan bunga daisy di dalam beg besar. berjalan perlahan-lahan. membiarkan rambutnya dikisar angin sambil melihat langit juga ladang daisy yang hanya kelihatan berwarna hitam juga putih.

Thursday, December 17, 2009

menyukat ketebalan dengan pembaris pendek

Dulu adik selalu ambil pembaris dan suruh saya dongak. dia mahu ukur ketebalan hidung saya.

biasanya saya akan merengus. malas mahu memberi hidung dan suruh adik pergi main jauh-jauh.
tapi apabila dia mengugut mahu kutis kudis bekas digigit nyamuk di betis saya, saya mengalah.
apabila saya menghulurkan hidung saya dan ketebalan hidung saya yang adik ukur hanya berukuran 6mm berbanding ketebalan hidung adik sendiri yang berukuran lebih daripada itu yang dia sudah ukur tujuh lapan kali semenjak dari pagi, adik meraung dan menggelepar.
adik kata hidungnya tebal. hidung saya nipis.
saya marah adik. sungguh saya tidak faham kenapa adik kisahkan soal ketebalan hidung padahal diri sendiri masih belum reti menocang rambut dengan baik.
yang garis hitam-hitam itu adalah tempat adik mengukur ketebalan hidung.

Tuesday, December 15, 2009

jarum peniti kakak sepupu

Dia terpikat melihat kakak sepupu yang berjilbab labuh menutup dada lanjut sampai ke bawah pusat.
Kelepet jilbabnya hampir simetri. Terbentuk hampir sempurna membuatkan muka bulat kakak sepupu kelihatan seperti bujur telur.

Satu petang minggu ketika mengintai kakak sepupu yang sedang memakai jilbab labuh, dia terlihat kakak sepupu mengambil jarum peniti berkepala bulat warna merah kemudian cucuk di dahi kiri juga kanan berhampiran mata.
Dia terus tersandar di dinding. Berdebar-debar. “Rupa-rupanya nak pakai tudung labuh kena jadi kebal. Kena cucuk jarum peniti kat otak rupanya,”. dia terbayang-bayang kakak sepupu mencucuk jarum peniti berkepala bulat warna merah terus ke otak dengan sudut 90 darjah dari kelepet jilbab.
"Mesti keluar darah sikit-sikit. Tapi nampak macam tak sakit,"
Dia rasa seram campur kagum kemudian terloncat-loncat turun ke tanah sambil berazam mahu belajar jadi kebal dengan kakak sepupu sebagai persediaan untuk memakai jilbab labuh bila dia besar nanti.