Wednesday, January 20, 2010

dia pernah mahu sayap tumbuh di bawah ketiak

Dia selalu mimpi tempat begini. cuma dia tiada sayap
Dia penakut. dia takut hantu. dia takut lelaki bertubuh besar. dia takut malam. dia takut gelap. dia takut cikgu tadika. dia takut cacing. dia takut mahu buang air besar di bawah rumah. dan dia takut bila rasa takut.
sebab itu dia becita-cita mahu terbang. setiap hari mencari sayap yang mana tahu tertumbuh di bawah ketiak. tapi ketiak dia licin. tiada bulu pelepah yang malu-malu mahu tumbuh seperti gigi yang keluar sikit demi sedikit akhirnya keluar dua biji gigi putih yang senget-senget.
waktu itu dia sangat gembira kerana tidak perlu lagi menampal gula-gula getah di antara giginya yang rongak dan membayangkan giginya sudah penuh sambil tersengih menari gimnastik di hadapan cermin almari bujang ayah dulu kemudian berbaring di katil dan buat-buat makan gula-gula di bawah selimut.
dan dia membesar dengan mimpi-mimpi yang memaksanya berlari atau menyorok. kemudian menangis apabila terbangun dari tidur dan bersambung selama beberapa minit dalam mamai.
jadi dia membesar dengan keinginan kuat untuk tumbuhnya sayap di bawah ketiak.
terbang tinggi. tinggalkan ketakutan di tanah bumi dan berlegar dengan rasa sendirian yang amat sangat di tengah langit.
tapi bila sudah besar, dia sedar, bukan sayap yang dia mahukan, tapi peneman saat dia terbangun mamai dari mimpi-mimpi yang menakutkan. sedia memberi tenang kemudian tidur semula tanpa rasa takut-takut lagi.
dan yang sebenarnya apa yang dia patut mahukan dulu adalah adik beradik yang ramai. bukannya sayap.

Tuesday, January 19, 2010

tedi beruang pakai seluar trek dan helo kiti yang sudah tua

Di depan pintu rumah yang ternganga, lepas makan nasi lauk kegemarannya iaitu telur goreng mata kerbau cicah kicap, dia tidur siang sambil mengiring. ketika matanya layu terkena angin petang, dia bercakap dengan daun-daun pokok binjai yang bergerak-gerak ditiup angin.

apabila hampir terlena, dia pandang ke dalam rumah dengan senyuman yang malu-malu ketika ternampak tedi beruang pakai seluar trek.

kemudian dia tertidur dan bermimpi berjumpa dengan helo kiti yang sudah tua kemudian dia menangis di dalam mimpi sebanyak dua kali.

dia bangun asar itu dengan badan yang penat dan sisa air mata yang masih bergantungan di tubir mata. tiada tedi beruang pakai seluar trek. tiada helo kiti yang sudah tua.