Thursday, July 29, 2010

kupon-kupon mimpi

Matanya yang sepet tidak berkelopak mata telah menjadi bulat sebulat-bulatnya macam tengah tengok pelangi.

memanglah. mana dia percaya. dia perempuan miskin yang tidak bercita-cita tinggi.

selalu menjadi pilihan terakhir apabila semua orang sudah tiada apa yang hendak dipilih lagi.

tapi di tangannya tergantung plastik gelenyar berisi kupon-kupon mimpi bes yang dia reka sendiri. syukurnya dia kerana ia bukan semudah mengutip taburan gula-gula di parti harijadi.

dan kupon-kupon mimpi always valid untuk di redeem bila-bila masa sahaja dia mahu nanti.

*yeah macam tu lah. think positif sayang. baru senang hati :)

Tuesday, July 27, 2010

bintang yang bergolek

Dalam gelap guguk malam dia menggagau sinar bintang. tiada. dia berjalan sambil pandang ke langit sehingga ke tiang lampu. dia terberhenti di tiang lampu kerana terhantuk. dahinya sakit. kerana dahinya sakit, dia lihat ke tanah. dan dia ternampak bintang bergolek di tanah dengan cahaya yang berkelip-kelip.

dia senyum. yakin.

tapi malam itu dia keletihan mengejar cahaya bintang yang bergolek di tanah sehingga malam perlahan-lahan menghilang.

Sunday, July 25, 2010

operasi pembersihan

mana-mana yang tidak berkenan/berkenaan sudah dibuang. harap maklum.

terima kasih.

Thursday, July 1, 2010

hafizul cekodok pisang

cekodok pisang curi. lama dah tak buat cekodok pisang maka tiada gambar.


Hafizul pengawas sekolah. hafizul tinggi, berkulit hitam, tak hensem, air muka masam mencuka, bulu kening bentuk sedih, suka bersendiri dan kelihatan penuh misteri.

di sekolah, setahu dia, hanya dia yang sukakan hafizul. budak perempuan lain kebanyakannya menaruh minat pada hakimi- wakil sekolah main bola sepak, berkulit putih, manis, suka senyum, ada pesona, bla bla bla.

segelintir lagi mungkin tidak reti berperasaan ataupun malu-malu miyau.

dia? dia hodoh. tiada kawan. rambut nipis hampir menampakkan kulit kepala, tidak pernah dapat pakai skirt, kulit berbau seperti cekedis dan bukan salah seorang yang terpilih untuk menjadi ahli kumpulan sorak yang pastinya.

dia tidak tahu apa-apa tentang hafizul selain mengetahui hafizul sukakan cekodok pisang. bagaimana standard cekodok pisang yang hafizul gemar tak lah dia arif, tapi dia selalu nampak hampir setiap waktu rehat hafizul beli cekodok pisang yang dijual makcik kantin. cekodok pisang itu nampak sederhana, kurang berminyak dan kelihatan bulat.

dia tak suka pisang, jadi dia tak pernah beli cekodok pisang di kantin.

***

petang itu, ketika dia sedang meniarap di depan tv membuat kerja sekolah, dia terlihat satu iklan yang sedikit sebanyak berbunyi seperti ini, "pikatlah si dia melalui masakan anda" kemudian perempuan itu mengambil majerin. ya, itu gazek rancangan memasak yang ditaja oleh planta.

dia menelan air liur. kemudian berlari ke dapur mencari emak.

***

pagi itu dia datang sekolah awal. awal sangat daripada kebiasaan. sebab dia mahu letak cekodok pisang yang dia belajar buat dari emak untuk hafizul. itu adalah percubaannya yang ke enam sejak empat hari lalu dan dia berpuas hati. cekodok itu kelihatan seperti cekodok pisang biasa walaupun saiznya ada besar ada kecil, sedikit berminyak dan leper-leper. tidak gemuk-gemuk bulat macam makcik kantin buat.

di atas bekas jernih berisi cekodok pisang, dia tulis "saya belajar dengan emak, yang benar, xxxx". gila tulus.

dalam pada dia berdebar-debar menunggu reaksi hafizul pagi itu, dia ternampak budak perempuan rambut panjang sampai punggung bulu mata lentik kulit putih masuk ke dalam kelas dan berjalan terus sampai ke belakang kelas.

oleh kerana budak perempuan itu cantik, otomatik mata dia menyoroti bontot budak perempuan itu. akhirnya budak perempuan itu berhenti di meja hafizul.

dia nampak hafizul yang tengah melihat cekodok pisang yang dia beri pagi tadi terdongak melihat budak perempuan cantik itu. hafizul kelihatan terpaku. dia juga nampak perlahan-lahan hafizul  menutup bekas jernih berisi cekodok pisang yang dia beri pagi tadi kemudian cepat-cepat sorokkan dalam meja. dan itulah juga kali pertama dia ternampak hafizul tersenyum.

waktu itu dia terdengar bunyi guruh di dalam otak dia. dia ternampak kilat dalam otak dia. dia terasa basah ditimpa hujan dalam otak dia.

cepat-cepat dia tunduk memandang kasut bata yang telah belubang sebesar duit lima sen. dia berasa malu dengan diri sendiri. dia berasa tewas dan dikalahkan. memang dia tidak layak bertanding dengan budak perempuan cantik itu. dengan siapa-siapa pun dia tidak layak.

dia menyesal penatkan diri belajar membuat cekodok pisang. dia menyesal habiskan gandum juga pisang emak dalam cubaannya yang gagal membuat cekodok pisang sebelum ini.

dia benci gazek rancangan memasak tajaan planta yang dia rasa sedang menipu dia. dia benci tv di rumah dia yang ada gazek rancangan memasak tajaan planta.

dia sudah merancang untuk memukul tv di rumah dengan penyapu lidi.

ya, dia cuma budak perempuan hodoh yang sedang menderita, tersangat kecewa dan sejak hari itu dia belajar membenci diri sendiri.