Saturday, November 28, 2009

kekasih di dalam kelongsong

Dia menekan kekunci 'hantar' sambil pejam mata. kemudian keluar pop up window bertulis, "kekasih di dalam kelongsong akan sampai ke rumah anda tujuh hari dari sekarang".
dia berdebar-debar. malu pada leptop, meja, kerusi dan diri sendiri pun ya juga. tapi dia tidak boleh berpatah balik kerana duit di dalam cimbeng pun telah dihabiskan separuh untuk membeli kekasih di dalam kelongsong.
menantikan hari itu dia tidak lena tidur. makan pun telan-telan paksa. bunyi motorsikal yang lalu di depan rumah selalu buat dia berdebar-debar.
dia tidak sabar menanti abang posmen berhentikan motosikal di hadapan rumah dan menghulurkan sebungkus bungkusan berisi kekasih di dalam kelongsong.
***
Dan tujuh hari telahpun berlalu begitu sahaja. bungkusan yang ditunggu-tunggu sampai pada hari ke dua puluh satu dalam keadaan yang sudah komot. comot.
dia memeluk lutut di atas kerusi berbentuk tangan.
rasa teruja telah berkurangan pada hari ke sebelas dia menunggu. namun dia masih rasa berdebar.
kekasih di dalam kelongsong kelihatan bulat panjang. dibungkus rapi di dalam material berwarna biru pudar bersama tag bertulis nombor yang panjangnya setengah jengkal.
dia menunggu selama setengah jam tanpa membuka kipas seperti yang diarahkan di dalam sekeping manual.
kekasih di dalam kelongsong bergerak sikit-sikit. kemudian terguling di atas kapet. dia jadi takut.
kekasih di dalam kelongsong sudah bergerak dan kelongsong itu pecah kepada beberapa bahagian.bagaimana mahu bayangkan kekasih yang keluar dari kelongsong?
marilah bayangkan seperti biasa saja. sedikit berpeluh (oh seksinya). badan melekit. cuma berseluar pendek (mujurlah) dan masih terpinga-pinga. kemudian redha dipapah ke sofa. oh sangat comel bukan?
tapi kekasih yang keluar dari kelongsong di hadapannya tidak begitu. memang tidak begitu. memang tidak begitu.
patutlah tiada katalog. cuma details. dan perjanjiannya adalah penerimaan tanpa kompromi. tidak boleh ditukar dengan wang tunai dan tiada jaminan langsung.
dan dia terus terlupa mahu buka kipas semula. haih.

Tuesday, November 24, 2009

janji bidarara berperut bulat


Bilik kaca yang tercakah sudut tepat di setiap bucu berintik-rintik terpercik butir-butir hujan.

Janji bidadara berperut bulat mahu singgah bersama hujan dengan kain sutera tenunan ulat dan selimutkan di hujung betis.

Kemudian janji bidadara berperut bulat itu lagi sambil terbang, mahu dukung dia bawa ke kepulan awan yang akan dikeraskan kemudian meluncur di situ dengan kasut roda warna jingga.

Hujan sudah berhenti turun. Awan nimbostratus sudah tergelincir dari langit.

Namun dia masih bersendiri di bilik kaca ternanti bidadara berperut bulat datang seperti yang dijanji walaupun lambat sehari.

Akhirnya kerana sudah letih menunggu, dia keluar dari bilik kaca dan terlentang di halaman. Protes.

Kuasa Tuhan, dari halaman tempat dia terlentang, sayup-sayup terlihat bidadara berperut bulat sedang meluncur di atas kepulan awan sambil berpimpin tangan dengan perempuan yang paling berlagak dalam sekolah.

“Bidadara berperut bulat! Kau juga reti khianat?”.

Dia berjalan laju-laju mencari puntung kayu untuk memecahkan bilik kaca yang dibina oleh bidadara berperut bulat khusus untuk dia. Dulu.

Friday, November 20, 2009

dia adalah merpati yang mudah jatuh cinta?

Dia berkaki ayam berjalan di atas batu-batu kecil berhampiran tasik yang dikepung gua. hujan renyai-renyai membuatkan baju polosnya terbentuk tompokan bulat-bulat kecil.
kemudian hujan turun dengan lebatnya secara tiba-tiba.
dia berlari sesungguh hati dengan sepasang selipar masih di tangan. meninggalkan batu-batu kecil yang tabah mengurut telapak kaki sedari tadi.
dan dia lihat bajunya sudah tiada tompok-tompok seperti polka dot sebab bajunya sudah lencun.
dia berteduh di dalam gua menahan gigil. melihat hujan berjatuhan secara condong dari langit. memercikkan titis-titis air halus ke muka dan lengannya yang terdedah.
juga menyebak bau tanah juga rumput hijau yang dijamah hujan dari langit.
saat itu dia rasa, dia sukakan hujan yang reti menghulur rindu. menjanjikan kembara masa lalu yang tidak menyakitkan.

ini gambar curi

kemudian pelangi muncul ketika dia dalam perjalanan mahu mendaki bukit.

saat itu juga dia rasa, dia sukakan pelangi yang pandai menyelitkan rasa lucu pula. dan mahu memilih warna yang paling bawah.

maka petang itu, dia nekad mahu mengejar hujung pelangi.

ini ambil sendiri. macam gigil.

dia adalah merpati yang mudah jatuh cinta? tidak. dia cuma tamak.

Wednesday, November 18, 2009

sesekali, apa salahnya tidak meletakkan diri dalam mangkuk bertulis 'malang' atau 'sedih' atau 'diterlupakan' atau 'dipinggirkan'

Punggungnya sudah comot sebab hari baru lepas hujan. dan tempat duduk buaian yang dia hayun masih basah dengan titis-titis hujan. jadi, sisa kotoran juga habuk besi melekat di seluar.

dia berbuai sambil pandang langit. sesekali ke arah pokok-pokok. sesekali ke arah jalan raya. sesekali ke arah rumah teres.

kadang-kadang kakinya lenguh. kadang-kadang lengannya lenguh. tapi dia tetap berbuai juga. merasai angin yang menampar pipi kemudian masuk ke mulut sehingga kembung perut.

bunyi keriuk-keriuk besi buaian berlaga dengan palang tidak menakutkan dia. tiang-tiang buaian yang bergoyang-goyang juga tidak menakutkan dia. dia tetap berbuai walaupun pahanya besar. punggungnya gemuk. menjadikan tempat duduk buaian terlalu sempit dan penuh.

melupakan rasa kesik di tempat tidur baru malam-malam sebelumnya. melupakan perjalanan meletihkan ketika menuruni bukit cameron yang baru kali kedua dijejakinya.

dan di belakangnya berdiri seorang lelaki rendang, berkaki kontot dan bertubuh montel dengan baju T putih comot kesan air milo campur susu. sedia menyokong kalau-kalau dia terjatuh dari buaian.

jadi, sebab itulah dia tidak lagi takut-takut macam dulu.

Sunday, November 15, 2009

tedi beruang tuntut nyawa

Dia teringin punya seketul tedi beruang yang namanya sudah difikirkan sejak dia berumur lima tahun-Bobot. Tinggal minta pada omma belikan tedi beruang di kedai besar kemudian berikan nama Bobot.

Dia menunggu sehingga dia berusia enam tahun. Tapi tiada beruang tedi.

Pada hari Sabtu ketika dia berusia enam tahun, dia telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan bawa bola di dalam sudu mengalahkan anak jiran yang mengamuk di tengah permainan, mengalahkan adiknya yang bertanding sambil memakai kain skirt sempit dan mengalahkan anak kawan oppa yang mengelat berjalan sambil gigit sudu tapi pegang bola dengan tangan.

Dan hadiahnya ialah tedi beruang berwarna putih bersama biskut celup coklat. Walaupun bukan warna coklat tua seperti yang diidamkannya, tapi dia menerima Bobot seadanya.

“Kau jangan main dengan tedi beruang. Mama aku kata nanti di akhirat tedi beruang tuntut nyawa. Macam mana kau nak bagi nyawa kau kat tedi beruang? Nyawa kau ada satu je,” Ketty, kawan sekolah tapi duduk kelas paling bodoh memberi nasihat siap dengan muncung-muncung mulut dan mata terbelalak membuktikan betapa bersungguhnya Ketty berkata-kata pada petang itu.

***

Sebelum maghrib, dia ke belakang rumah Pak Akob taukeh ayam. Dia memeluk Bobot yang belum sampai satu hari duduk bersamanya. Kemudian melihat mata Bobot. Juga leher Bobot yang dipakaikan rantai kucing.

Dalam longkang besar berisi air berwarna hitam pekat dipenuhi bahan-bahan seperti lampin bayi, plastik gelenyar, kulit roti berkulat, seluar dalam saiz gergasi juga span basuh pinggan, dia menenggelamkan Bobot dengan kayu panjang sedepa sambil menangis tersedu-sedu.

“Selamat tinggal Bobot. Maafkan kita. kita sayang Bobot,”. Dia pulang ke rumah membawa sebak dan kasih rindu yang berlonggok-longgok untuk Bobot.
***

Besoknya, Ketty datang pada dia dengan tedi beruang kepam yang berwarna putih kuning-kuning campur tompok coklat muda dengan rantai leher kucing. Menunjuk-nunjuk sambil membelalakkan mata sampai kelihatan tersembul seperti mata katak.

Dia terduduk lesu di atas tahi kambing bulat-bulat yang berterabur di tanah dengan riak wajah paling kesal dalam dunia.

Wednesday, November 4, 2009

cak bes


Cak Bes

tetiba mahu tukar citarasa kepada lelaki omputeh sebab banyak kali kecewa dengan lelaki melayu. ok bukan. sebenarnya lepas tertengok lelaki omputeh berkemeja putih tengah tunggu bas kat bus stop masa nak pegi keja tadi.

selamat tinggal lelaki bertubuh pahlawan. selamat tinggal lelaki chindian yang pergi ke kuil setiap hari jumaat.

tetiba besok rasa macam nak pegi keja dengan bas. harap-harap lelaki omputeh beragama islam. boleh lah saya bagi salam dan mula berkenalan tanpa segan silu.

kalau tak, saya mahu patah hati mulai dari sekarang.

Monday, November 2, 2009

boleh bawa pergi berkelah atau suap pada kekasih yang sedang demam

Kita perlukan 1:1 tepung:minyak (di sini kita buat suku cawan tepung dan suku cawan minyak). ayam potong kecik-kecik. stock ayam. daun bawang dan daun sup dipotong kecik-kecik. cendawan dipotong kecik-kecik kalau mahu. tak ada paksaan.

air secukupnya. bergantung kadar mana kepekatan yang kita mahukan.
panaskan minyak.

masukkan tepung dan gaul sebati. (maaf. kualiti gambar kurang memuaskan sebab kitalah yang tukang kacau, kitalah tukang amik gamba)

begini rupanya bila dah sebati. jangan lupa, masak dengan api perlahan. kalau hangit, kita tak tanggung.

masukkan air. campuran akan jadi pekat secara tiba-tiba. dan menghasilkan sup yang banyak. jangan panik. memang semulajadi dia macam tu.

masukkan stock ayam sesedap rasa.

dan masukkan ayam tadi.
kalau terlalu pekat, tambah air lagi kemudian akhir sekali masukkan daun-daun yang telah disebutkan di atas.
sedia untuk dimakan. seperiuk itu tadi boleh makan untuk dua orang yang tidak tamak. cicah dengan roti pun sedap juga.

selamat mencuba!

*update: ini sup ayam. kalau letak cendawan, boleh bagi nama sup ayam cendawan

**update lagi: tepung apa? tepung gandum ya sayang.