Tuesday, March 30, 2010

di tepi jambatan tempat bumble bee pernah menyorok dulu

Di tepi jambatan tempat bumble bee pernah menyorok dari helikopter kerajaan satu masa dulu, saya duduk berlunjur kaki. saya biarkan kaki saya yang montel itu terjuntai melalui celah-celah kayu jambatan. kalau boleh, saya mahu hayunkan kaki saya sambil berhinggut tapi orang tua pesan, tak baik bergedik-gedik kaki. bila saya tanya kenapa, orang tua cuma cakap tak baik. saya tanya lagi, tak baik tu maknanya berdosa ke? akhirnya semua orang senyap termasuk saya.

sebenarnya jambatan yang bumble bee pernah menyorok tu bukanlah besar sangat. kenit aje sebab masa tu bumble bee masih lagi sebuah kereta sorong bayi. jadi memang muat sangat kalau bumble bee nak menyorok lepas bertukar menjadi robot bayi yang lebih suka minum susu campur minyak sapi instead of minyak petrol atau miyak diesel campur air teh.

dan sebenarnya juga walaupun abang besar itu tak pernah wujud dan saya adalah perempuan yang selalu menunggu orang yang mengelek tempayan keluar dari bulan di tepi jambatan kenit ni, saya tetap juga perempuan biasa. bukan perempuan yang keluar dari bunga atau perempuan robot yang dibeli melalui online dalam bentuk seperti kepompong kemudian menjadi manusia yang tidak mempunyai pusat yang suka melihat bintang.

bukan. bukan.

ketika saya duduk-duduk sendiri di tepi jambatan kenit itu, bumble bee pun sudah tidur di atas katil gergasi. kedai pun sudah tutup. kanak-kanak yang tidak lena tidur pun sudah mula rasa takut melihat almari sendiri di dalam bilik kerana waktu sudah jauh malam.

saya di situ cuma termenung. pandang bulan yang saya sangat hargai cahayanya sejak saya berumur 14 tahun. sampai la ke hari ini. walaupun saya pernah melihat matahari selama beberapa minit dan selepas itu saya tidak boleh berjalan dengan betul sehingga memaksa saya untuk terus pejamkan mata dan duduk di bucu dinding, saya tetap merasakan yang mata saya menjadi rabun kerana terlalu lama merenung bulan.

walaupun saya rabun dan tidak memakai spek mata kecuali ketika memandu dan juga menghadap komputer kerana rasa macam makcik, saya tetap nampak sebutir bulan dengan cahaya berserakan di sekelilingnya. cahaya yang pecah-pecah sebab silau mata saya tinggi juga.

dan walaupun saya tidak pernah jelas akan bayangan orang yang sedang mengelek tempayan di dalam bulan, saya tetap percayakannya. sebab itu saya menunggu untuk melihat bulan. biarpun hanya bulan sabit, saya tetap mahu lihat. sebab rindu yang tak pernah imun.

ketika saya melihat bulan sambil menyandarkan kepala ke kayu jambatan, saya terdengar bunyi 'iyunggg' yang panjang bercampur bunyi seperti kertas atau kain gebar dikeronyok-keronyok.

macam biasa, saya cepat kalut. cepat berdebar, cepat takut dan cepat panik.

saya berpusing melihat sekeliling tapi kerana rabun, saya tak berapa nampak.jadi saya cepat-cepat memungut selipar bersedia untuk lari ke basikal.

tapi lagi, tiba-tiba sesuatu telah jatuh di atas basikal saya. beberapa depa dari kaki saya. gedebum!! (habis laa basikal saya). bunyinya kuat juga dengan kain yang sungguh lebar. berunsur warna matte lebih kepada warna coklat tidak berkilat menerbang dan berjatuhan secara lembut di atas tanah.

apa yang saya harus buat? saya jadi lagi kalut dan bertambah comot bila berkeadaan begitu.

saya mahu pulang dengan basikal. tapi basikal saya mungkin sudah penyek.

kalau saya berlari pulang meninggalkan sesuatu yang baru jatuh dari langit yang juga ada kain besar, alangkah berdosanya dan mungkin besok pagi saya akan ditangkap kerana dna saya sudah pasti berada di basikal saya.

tapi kalau sesuatu yang jatuh dari langit itu adalah makhluk asing bagaimana dengan nasib saya pula kalau dicolek menjadi ujikaji kemudian dipaksa berkahwin dengan alien bergigi besar dan mempunyai sesungut bermata bulat dan kemudian mengheret saya ke planet yang tiada bulan, bagaimana?

dan bagaimana pula kalau itu adalah seorang askar yang ditolak komandernya dari kapal terbang askar?

kalau sekiranya pula itu adalah orang yang mengelek tempayan di dalam bulan. tergelincir jatuh ke bumi ketika mahu mencedok air? dan orang itu pula adalah seorang lelaki yang kelihatan kasihan, naif, kacak dan mempunyai pusat?   

saya serahkan kepada awak untuk selesaikan cerita ini sebab saya lapar nacik.

Wednesday, March 24, 2010

atas kerusi batu

kerusi batu

Petang itu sedikit sejuk. angin petang membawa daun-daun kering sampai ke kaki kerusi batu.

dari kerusi batu saya lihat seorang budak setinggi pokok lada menjilat kelima-lima jari kemudian menadah ke langit. selama beberapa saat budak itu melihat telapak tangannya dengan muka berkerut. kemudian budak itu berlari ke arah seorang perempuan yang sedang bermain gelongsor (saya agak itu kakaknya).

meraka saling memberitakan sesuatu (saya tidak dapat agak apa) kemudian kesemua mereka yang sedang bermain di taman permainan itu pulang ke rumah (mungkin) sambil meloncat-loncat.

seketika, saya berasa cemas dan rasa seperti ingin turut serta tapi beberapa saat kemudian saya berasa tidak mahu.

saya tegun di kerusi batu. saya pandang ke langit. mencari awan kalau-kalau muncul yang berbentuk seperti buah stoberi atau seorang bayi.

tiada awan berbentuk stoberi atau bayi.

ketika saya sedang bermenung dan terasa seperti seorang gadis korea-bermata sayu-kalau sesiapa lihat-terasa seperti mahu lindungi saja, saya terdengar bunyi dengusan.

saya pernah dengar lembu mendengus, jadi saya tahu ini bukan lembu.

saya menoleh. di sisi saya adalah seorang lelaki masih berkemeja kerja dan berambut kusut.

lelaki itu bercakap seorang diri tentang kekusahan dan kesedihan kemudian badannya mula menyenget ke arah saya.

saya takut. saya tahu lelaki itu mesti berat berganda-ganda dari saya. saya mahu bangun kemudian melarikan diri tapi belum sempat saya meloncat, lelaki itu menempis saya sampai saya tergolek-golek jatuh ke atas rumput.

saya menangis kerana sakit. saya belek tubuh saya kemudian saya menangis makin kuat. tapi suara saya tenggelam melawan bunyi hujan yang tiba-tiba turun dengan lebatnya.

saya terus menangis di dalam hujan. sungguh, selama ini saya tidak pernah tahu yang saya hanyalah sebuah botol kosong lutsinar berkaca tebal.

"tiba-tiba rasa dahaga air ribena" - penulis.

*idea diperolehi sebab teringat masa sekolah dulu pernah buat cerita 'aku sehelai kertas' dan 'aku sepasang kasut cap unta'

Wednesday, March 17, 2010

cermin abang besar yang...

rupa abang besar bukan macam ni. cermin bang besar pun bukan macam ni. ni cermin jahat ni.


Abang besar beli cermin baru. dia nampak abang besar bawa cermin baru sebesar pemeluk tangan gemuk abang besar dan cepat-cepat abang besar bawa masuk ke dalam bilik.

dia berlari mahu tengok cermin baru abang besar, tapi abang besar sekeh kepala dia sampai dia rasa kepala dia bergegar dan badan dia jadi macam spring kemudian melantun-lantun sambil menangis di atas karpet di ruang tamu.

selepas puas menangis, dia main hayun kaki dengan menggagahkan kedua-dua tangannya pada lengan kerusi rotan. hayun ke depan dan ke belakang dengan sisa air mata yang sudah kering di tubir mata sambil memandang bilik abang besar dengan geram.

lama dia berhayun sampai pergelangan tangannya lenguh. abang besar tak juga keluar. dia putus asa lalu turunkan kaki ke lantai.

tapi dia rasa macam terpijak benda berbulu dan lembut. dia juga terdengar seperti kucing mengiaw. dia pandang lantai. dia terlihat kucing yang abang besar kutip di kedai makan terleper-leper macam katak yang tidur meleper.

dia terkejut. juga takut. takut abang besar marah. sambil melihat pintu bilik abang besar yang tertutup rapat, dia angkat kucing sebab mahu sorok dalam kotak tivi tapi tangan dia rasa basah-basah dan hidung dia kempis-kempis kembang.

dia letakkan kucing dan hidu tangan. bau tahi kucing.

kucing terberak cair dan tak dapat bergerak. cuma berkelip-kelip mata. dia sudah menggigil macam sedang duduk dalam peti ais.

nak tak nak, dia menjerit panggil abang besar, "mokmok (bukan nama sebenar)! kucing terjangkit demam!".

abang besar keluar dari bilik dengan langkah malas. muka boring.

tapi lepas tengok kucing lembik terpenyek dan terberak, abang besar sekeh kepala dia lagi sekali untuk hari itu sampai dia rasa kepala dia bergegar dan badan dia jadi macam spring kemudian melantun-lantun sambil menangis menuju ke bilik abang besar.

abang besar cepat-cepat mengangkat kucing yang macam mahu berak lagi itu  menghala ke luar rumah manakala dia yang masih menangis sikit-sikit telah mengambil kesempatan mencuri-curi masuk ke dalam bilik abang besar.

dan matanya yang separuh sepet serta dipenuhi air mata itu tiba-tiba membulat  basah apabila terlihat cermin baru abang besar sedang mengeluarkan cahaya berwarna biru muda.

dah panjang. kena sambung bila rajin.

Tuesday, March 9, 2010

dia belajar membawa kereta lembu

Dia belajar membawa kereta lembu ketika dia berusia 14 tahun.

dia belajar membawa kereta lembu dengan pak uteh di jalan kampung. paling-paling jauh pun di jalan dekat pekan. biasanya cabarannya cuma budak-budak berhingus yang berlari ke sana ke mari sesedap rasa.

ketika menjalani ujian untuk mendapat lesen, dia disuruh pegawai supaya melalui jalan pekan. di jalan pekan dia bertembung dengan kambing yang sedang berdiri di tengah jalan dan memaksa dia untuk brek mengejut.

dua ekor lembu yang melekat di kereta lembu itu mengemboh kemudian menunjal-nunjal kakinya ke jalan. lembu-lembu itu terkejut.

tapi kambing tidak mahu lari.cuma berpusing-pusing. bingung.

kemudian dua ekor ayam kampung datang memimpin kambing yang rupanya cacat penglihatan.

setelah mengharungi pelbagai halangan di jalan termasuk berlawan dengan perompak, dia mendapat markah cukup-cukup makan untuk mendapat lesen membawa kereta lembu.

besoknya dia membawa kereta lembu ke pasar dengan lesen yang baru diperolehi disimpan di dalam bunjut.

dia mahu menunjuk-nunjuk kepada che wan yang selalu sangat berlagak menunjuk-nunjuk baju atau selendang baru yang dibeli ayah che wan.

sampai di depan kedai ayah che wan, dia terdengar bunyi bising.

dia mendongak mencari arah bunyi dan terlihat che wan sedang membawa kereta kuda di atas langit sambil ketawa terjerit-jerit ke arah dia.

Monday, March 1, 2010

polosnya kita

oh. cuma bayangkan kain tudung berwarna gelap.

Setiap hari lepas balik dari sekolah, dia pergi mengaji di rumah tok guru. tok guru seoang buta. tok guru sudah tua, putih kulitnya dan bergigi cantik.

sebelum pergi mengaji, dia pakai bedak debu di muka. sapu rata-rata nak bagi muka nampak putih. tapi biasanya hasilnya bercapuk-capuk di pipi sebab tangan dia kenit, susah untuk membuat bentuk bulatan di pipi.

satu hari itu, sambil berjalan melepasi kedai ayah wan, dia terperasan yang di tudungnya terlekat debu-debu bedak. bayangkan kain tudung hitam yang dipenuhi debu-debu bedak berwarna putih. bukan sedikit tapi banyak.

walaupun masih kenit, dia tetap berasa malu. jadi dia jilat tapak tangan kemudian sapu pada tudung. ya! kesannya hilang! magik sungguh! walaupun tanpa air mutlak, tudungnya tetap kelihatan suci.

tapi beberapa minit selepas itu, kain tudungnya kelihatan pelik dengan kesan putih-putih sedikit bercampur dengan bentuk-bentuk seperti di atas sarung bantal.

dia berdebar. kemudian sekali lagi menjilat tapak tangan dan menyapu pada kain tudung sekuat hati.

akhirnya dia sampai di tempat mengaji dengan muka yang terasa panas dan pipi kemerah-merahan.

hari itu kakak di tempat mengaji tidak memeluk dia seperti selalu-selalu.

dan dia makan cekedis sendiri-sendiri di celah dinding selepas dia habis mengaji sementara menunggu semua kawan-kawannya pula habis mengaji, membaca doa bersama-sama dan mengutip sampah beramai-ramai sebelum pulang ke rumah.