Tuesday, February 8, 2011

pemenang contest: mencari matahari yang sedang hilang part 3 - cerita 4

hasil nukilan affah :)

Dia sudah tiba di tempat pelukis perempuan itu duduk semalam. Masih ada batu tempat pelukis perempuan itu duduk. Tidak terusik oleh siapa siapa. Cadangnya hari ini, dia mahu kembalikan lukisan anak sungai semalam. Dia mahu kembalikan matahari supaya ibunya senyum. Dia tak mahu lihat ibunya bermuka masam kerana kain tidak kering-kering kerana mendung. Tak mahu sangat.

Mana pelukis perempuan ini. Nampaknya masih tidak sampai. Selalunya awal. Tetapi hari ini, lewat sekali. Mendung masih tetap mendung, kerana matahari masih terperangkap dalam lukisan. Kalau begini, dia perlu tunggu hingga petang. Dia melabuhkan punggung di atas batu tempat pelukis perempuan itu selalu duduk.

Dia termangu sambil kunyah gula-gula kenyal yang ada dalam poket. Mula-mula, gula-gula kenyal warna biru, diikuti hijau. Bosan kunyah hijau, dia ambil warna merah. Bosan merah, jingga. Hingga habis satu plastik gula-gula kenyal, pelukis perempuan semalam, tidak juga sampai.

Baliklah kalau macam ini gamaknya.

Bangun, baru perasan. Ada sekotak cat warna akrilik di tepi pohon bunga. Bunga kertas. Ada berus lukisan. Ada kain perca. Dan ada sekeping surat berwarna merah jambu.

Surat itu tertulis,

"Selamat petang sayang kecil yang dari tadi mengunyah gula-gula kenyal. Aku (penulis perempuan) sentiasa ada. Jangan kau tercari-cari. Aku beri kau tugasan ini dengan sebatang berus. Lukiskan kembali matahari. Lukiskan kembali. Maafkan aku. Maafkan aku kerana petang ini, aku tiada seperti hari biasa. Salam sayang."

Dia lipat lukisan yang ada gambar anak sungai. Dia lukis lukisan baru pelan-pelan. Tangannya tergigil-gigil. Tapi dia mampu. Lukis satu bulatan, dan dia tambah dengan warna jingga pekat. Dia lukis matahari.

Esok cerah. Moga Tuhan merahmati.

0 comments: